Latar belakang Kemalangan kapal selam Titan 2023

OceanGate

Rencana utama: OceanGate

OceanGate ialah syarikat swasta yang diasaskan pada tahun 2009 oleh Stockton Rush dan Guillermo Söhnlein. Sejak tahun 2010, mereka telah menawarkan perjalanan berbayar kepada pelanggan menggunakan kapal selam yang dipajak. Syarikat itu berpangkalan di Everett, Washington, Amerika Syarikat. Pada tahun 2016, mereka membawa pelanggan menggunakan kapal selam Cyclops 1 buatan mereka untuk melawat tapak karam Andrea Doria. Dalam satu temu bual pada tahun 2019, Rush berkata bahawa Titanic ialah kapal karam paling terkenal yang terlintas di fikiran apabila orang berfikir tentang penerokaan bawah air.

Titanic

Rencana utama: Bangkai kapal Titanic

Titanic ialah kapal laut British yang tenggelam di Atlantik Utara pada 15 April 1912 selepas berlanggar dengan aisberg. Pada 1985, serpihan itu ditemui di dasar laut sekitar 400 batu nautika (740 km) dari pantai Newfoundland.[6] Bangkai kapal itu terletak pada kedalaman kira-kira 3,810 meter (12,500 kaki; 2,080 fathom).[7] Kisah tragedi kapal itu sangat masyhur dalam kalangan orang ramai.

Kapal selam Titan

Rencana utama: OceanGate § Titan

Titan ialah sebuah kapal selam lima orang dikendalikan syarikat OceanGate, Inc. yang direka untuk menyelam sedalam 4,000 m (13,000 ka) "untuk tinjauan dan pemeriksaan tapak, penyelidikan dan pengumpulan data, pengeluaran filem dan media, dan ujian dalam perkakasan dan perisian", menurut syarikat itu.[8]

Kapal selam itu dibina sepanjang 22 kaki daripada gentian karbon dan titanium.[8] Kawalan sterengnya terdiri daripada Logitech G F710 (alat kawalan main video PC nirwayar) dengan kayu analog yang diubah suai.[9][10][11] Menurut OceanGate, kapal itu mengandungi sistem pemantauan untuk memantau kekuatan badan kapal secara berterusan.[8] Kapal itu mempunyai sokongan hayat untuk menyokong lima anak kapal selama 96 jam.[8] Pada Jun 2023, akaun media sosial pihak OceanGate di Twitter menyatakan bahawa capaian Internet daripada sistem satelit Starlink SpaceX sedang digunakan untuk menyokong ekspedisi mereka ke Titanic.[12][13][14]

Ekspedisi Titanic

Biasanya, setiap penyelaman mempunyai seorang juruterbang, tiga penumpang yang membayar, dan seorang pemandu di atas kapal.[15] Sebaik sahaja orang-orang ini berada di dalam kapal selam, palka ditutup dan mesti dibuka semula dari luar.[16] Penurunan dari permukaan ke Titanic biasanya mengambil masa tiga jam,[17] dengan penyelaman penuh mengambil masa kira-kira lapan jam.[15] Kapal selam Titan dijangka membunyikan ping keselamatan setiap 15 minit untuk dipantau anak kapal di atas air sepanjang perjalanan.[6] Kapal permukaan dan pasukan kru juga boleh berkomunikasi melalui mesej teks pendek.[18]

Pelanggan yang melakukan perjalanan ke Titanic dengan OceanGate, yang dirujuk sebagai "pakar misi" oleh syarikat itu,[19] membelanjakan US$250,000 untuk terlibat dalam ekspedisi lapan hari itu.[15][20]

Penulis dan wartawan teknologi David Pogue yang terlibat dalam ekspedisi tahun 2022 untuk laporan CBS News Sunday Morning[21] menyatakan bahawa semua penumpang yang memasuki Titan menandatangani suatu surat penepian yang mengesahkan pengetahuan mereka bahawa ia adalah kapal "eksperimen" "yang belum diluluskan atau diperakui oleh mana-mana badan kawal selia, dan boleh mengakibatkan kecederaan fizikal, hilang upaya, trauma emosi atau kematian".[22] Penerbit televisyen Mike Reiss yang turut sama dalam ekspedisi itu menyatakan bahawa surat penepian itu "menyebut 'kematian' tiga kali pada halaman pertamanya."[23]

Pihak OceanGate berhasrat menjalankan beberapa ekspedisi ke Titanic pada tahun 2023, keadaaan cuaca buruk di Newfoundland memaksa syarikat itu hanya melancarkan satu ekspedisi setakat ini pada tahun tersebut.[15][17]

Rujukan

WikiPedia: Kemalangan kapal selam Titan 2023 http://patft.uspto.gov/netacgi/nph-Parser?patentnu... http://www.pat2pdf.org/pat2pdf/foo.pl?number=11119... https://apnews.com/article/titanic-wreckage-missin... https://apnews.com/article/titanic-wreckage-missin... https://tv.apple.com/us/episode/the-return/umc.cmc... https://arstechnica.com/gaming/2023/06/submarine-m... https://www.bbc.com/news/world-us-canada-65934887 https://www.cbsnews.com/news/titanic-visiting-the-... https://www.cnn.com/americas/live-news/titanic-sub... https://www.cnn.com/americas/live-news/titanic-sub...